
Tarikh Perbahasan: 20 March 2012 (Selasa) 11.30a.m
Live Sidang Parlimen: http://mppas.wordpress.com/2007/10/22/live-parlimen/
ATURAN URUSAN MESYUARAT DAN USUL-USUL
1. Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan mencadangkan :-
“BAHAWA mengikut Peraturan 81 (1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Majlis ini mengambil ketetapan berikut:
(a) Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) dilantik bagi tujuan meneliti isu-isu yang menjadi perhatian pihak awam serta standard keselamatan projek ini.
(b) Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut hendaklah terdiri daripada Sembilan (9) Ahli Dewan Rakyat:
(i) Lima (5) anggota daripada Barisan Nasional (termasuk seorang Menteri sebagai Pengerusi);
(ii) Tiga (3) anggota daripada Pembangkang
(iii) Satu (1) anggota selain daripada Barisan Nasional atau Pembangkang (Bebas).
Jika Pengerusi yang dipilih tidak hadir dalam sesuatu Mesyuarat, Jawatankuasa tersebut hendaklah memilih Pengerusi dari kalangan Anggota-anggota Jawatankuasa yang hadir yang akan memegang jawatannya hanya pada hari ia dipilih itu sahaja;
(c) Tempoh masa pelantikan Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut adalah selama tiga (3) bulan. Jika Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut tidak dapat melaksanakan tugas-tugas yang diserahkan dalam tempoh tersebut, perkara ini hendaklah dibawa semula ke Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi maksud pelanjutan tempoh pelantikan;
(d) Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut hendaklah menyiapkan dan membentangkan penyata Jawatankuasa yang mengandungi syorsyor berkaitan dan penyata Jawatankuasa tersebut hendaklah
dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk dipersetujui atau mengikut apa-apa cara yang diperintahkan oleh Majlis Mesyuarat tersebut.’’

